Saturday - 14, June 2025

Ini temuan pasukan petugas khas siasat kes kemalangan trak FRU dan lori batu sebulan lalu…

Share

Ingat lagi kemalangan ngeri melibatkan lori membawa batu dan truk FRU yang meragut nyawa sembilan anggota polis di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pada 13 Mei lalu.

Menurut laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia yang disiarkan semalam, antara temuan penting adalah lori batu membawa muatan melebihi had dibenarkan dan ketiadaan tali pinggang keledar di dalam truk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menyumbang kepada perkara tersebut.

Konvoi FRU terdiri daripada tujuh kenderaan termasuk empat lori, dua kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah bas sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Ipoh, selepas bertugas menjaga keselamatan sempena Festival Chitra Pournami di Teluk Intan sehari sebelumnya.

Ketika berada di Jalan Chikus–Sungai Lampam, sebuah lori milik syarikat Tashveen Trading yang membawa muatan batu kerikil dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara langsung dengan lori FRU.

“Lori membawa batu tersebut didapati bergerak dengan kelajuan antara 63 hingga 70 kilometer sejam sebelum memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan pertembungan langsung dengan lori FRU,” jelas laporan itu.

Perlanggaran itu amat kuat sehingga kedua-dua lori terbalik ke sebelah kiri masing-masing.

Lori FRU melintang sepenuhnya di atas jalan, menyebabkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya bagi kerja menyelamat dan siasatan.

Pemandu lori mengalami kecederaan ringan sahaja, sedangkan sembilan anggota FRU yang terkorban mengalami kecederaan serius akibat hentaman kuat serta tercampak dari tempat duduk masing-masing, disebabkan ketiadaan tali pinggang keledar di tempat duduk mereka.

Pemeriksaan lanjut terhadap lori muatan batu mendapati kenderaan itu membawa muatan seberat 40,960 kilogram (kg), jauh melebihi had maksimum dibenarkan iaitu 24,000kg.

Selain itu, lori tersebut juga tidak menggunakan jenis muatan yang diluluskan dalam permit kenderaan yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), iaitu sepatutnya membawa arang batu tetapi membawa batu kerikil.

“Sisa muatan yang dikesan ialah batu kerikil, walaupun jenis badan kenderaan adalah Lori Rigid – Coal (LDC) dan kenderaan ini hanya dibenarkan membawa muatan arang batu.

“Pemeriksaan mendapati lori ini telah melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Apad 2010 kerana membawa muatan selain yang dibenarkan,” kata laporan berkenaan.

Laporan turut mendedahkan pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemui tanda penggunaan brek secara berlebihan, namun tiada kegagalan fungsi mekanikal utama seperti stereng yang boleh dikenal pasti sebagai punca nahas.

Kejadian itu mendorong pelbagai persoalan mengenai tahap keselamatan kenderaan milik kerajaan dan komersial.

Dalam laporan tersebut juga dinyatakan tempat duduk jenis bangku yang digunakan dalam lori FRU tidak mempunyai tali pinggang keledar, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan semasa kemalangan.

“Pemeriksaan fizikal ke atas bahagian dalaman kabin belakang Lori FRU mendapati tempat duduk jenis bangku (bench seat) yang dipasang tidak dilengkapi dengan sistem kekangan (restraint system) seperti tali pinggang keledar.

“Ketiadaan elemen keselamatan pasif ini dipercayai telah secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan serius terhadap penumpang yang duduk di bahagian tersebut semasa pelanggaran berlaku,” tambah laporan tersebut.

Dalam kejadian sekitar 8.51 pagi 13 Mei itu, sembilan lagi anggota FRU mengalami kecederaan parah.-13/6/2025

Read more

khabar terbaru