Meriah… Malaysia telah mengatasi China sebagai penyumbang pelancong asing terbesar ke Thailand, dengan lebih dua juta rakyatnya melawat negara itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2025.
Menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong, sejumlah 2,041,002 pelancong dari Malaysia direkodkan memasuki Thailand antara 1 Januari hingga 8 Jun tahun ini, sekali gus mengatasi jumlah pelancong dari China yang mencatatkan 2,029,481 orang.
“Malaysia kini mendahului senarai pelancong asing ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan yang turut melaporkan jumlah keseluruhan pelancong asing ke Thailand mencecah lebih 15 juta orang sepanjang tempoh tersebut.
India berada di tempat ketiga dengan 1,035,864 pelawat, diikuti Rusia (981,011) dan Korea Selatan (702,267).
Kesemua pelancong ini secara kolektif menyumbang sekitar 699.3 bilion baht kepada ekonomi Thailand.
Lonjakan pelancongan ini disumbangkan oleh beberapa inisiatif proaktif kerajaan Thailand, termasuk pelonggaran sekatan perjalanan dan promosi besar-besaran seperti “Amazing Thailand Grand Tourism and Sports Year 2025”.
Salah satu langkah penting ialah penghapusan borang imigresen TM6 yang telah digantikan dengan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) berkuat kuasa 1 Mei lalu, yang memudahkan proses kemasukan pelancong.-13/6/2025