Sunday - 15, June 2025

Kedudukan Malaysia meningkat dalam destinasi utama acara perniagaan peringkat dunia

Share

Malaysia dan Kuala Lumpur mencatat peningkatan dalam ranking “International Convention and Conference Association (ICCA) 2024 Country and City” sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai destinasi utama acara perniagaan di peringkat dunia.

Malaysia telah menganjurkan 129 mesyuarat persatuan antarabangsa sepanjang tahun lepas, melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-31 dalam penarafan negara global dan kekal dalam ‘Top 10’ untuk rantau Asia Pasifik di tempat kesembilan.

Kuala Lumpur mencatat peningkatan ketara dengan melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-26 dalam ranking “World City” yang menyaksikan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi tumpuan utama bagi 78 mesyuarat antarabangsa di bandar ini pada tahun itu.

Pengurus Besar KLCC John Burke berkata reputasi Malaysia dan Kuala Lumpur yang semakin meningkat menunjukkan nilai tawaran yang menarik.

“Dengan sokongan 79 syarikat penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akses tanpa visa dari 175 negara, Malaysia memenuhi keperluan mobiliti dalam pengurusan acara perniagaan global.

“Ditambah pula rantaian bekalan yang memenuhi piawaian antarabangsa, penguasaan bahasa Inggeris dan kadar pertukaran mata wang yang kompetitif, bersama kekayaan warisan budaya dan keindahan khazanah alam semula jadi, Malaysia jelas menjadi pilihan terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk mempromosikan profil global negara dan Kuala Lumpur, KLCC bekerjasama rapat dengan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa bagi menarik peluang perniagaan ke Malaysia.

KLCC juga akan mengambil bahagian dalam beberapa pameran perdagangan antarabangsa utama yang tersenarai dalam kalendar antarabangsa MyCEB bagi tahun ini, termasuk The Meetings Show di London dan IBTM di Barcelona.

John berkata dengan peningkatan penekanan global terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pertumbuhan aktiviti kelestarian akan menjadi kunci kejayaan Malaysia, Kuala Lumpur, dan pusat konvensyen dalam sektor pengurusan acara perniagaan.

Beliau berkata pengurusan acara perniagaan itu dijangka menyumbang RM42.12 bilion (USD9.9 bilion; Euro 8.8 bilion) kepada ekonomi negara menjelang 2030, dengan setiap peganjuran mesyuarat atau acara antarabangsa membawa nilai dan impak jangka panjang kepada komuniti.-14/6/2025

Read more

khabar terbaru