Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyediaan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Perdana Menteri berkata peruntukan itu sejajar dengan usaha memperkasa ekosistem dan kelangsungan media negara.
“Sepanjang ingatan saya sejak zaman merdeka, inilah peruntukan terbesar yang kerajaan beri kepada wartawan.

“Dengan bantuan dana kerajaan, dengan latihan, pendedahan kepada wartawan terutama yang muda, kita pastikan dunia wartawan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan kecerdasan buatan (AI) di saming menjamin keseimbangan AI dan etika,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media di negara ini.
Majlis berprestij itu turut menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Anwar berkata, inisiatif itu akan disertai dengan latihan dan pendedahan khusus terutama kepada wartawan muda agar mereka dapat bersaing dan menyesuaikan diri dengan landskap teknologi baharu.
“Sebagai langkah awal, dana ini akan dimulakan melalui Projek Sigma. Saya sangat menghargai mutu dan keupayaan wartawan kita. Saya telah berbincang dengan Menteri Komunikasi, dan kita bersetuju untuk menubuhkan satu dana yang relatif besar demi menjamin media tempatan terus relevan,” katanya.
Projek Sigma sebelum ini hanya melibatkan enam syarikat media tempatan iaitu Astro Awani, Malaysiakini, Sinar Daily, New Straits Times, The Star dan Sin Chew Daily.
Projek Sigma 2.0 melibatkan kerjasama enjin carian, Google dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bagi mengadakan latihan dan kursus berkaitan pendekatan baharu dalam penyampaian berita dan penghasilan bahan kandungan, bertujuan membangunkan format kandungan digital yang lebih segar dan berkesan.

Projek Sigma 2.0 juga akan turut membolehkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran (RTM) Jabatan Penerangan (JaPen), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan organisasi media memahami dengan lebih mendalam corak penerimaan maklumat serta keperluan dan tingkah laku audiens Generasi Z (Gen Z).

HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama selaku agensi pelaksana, dan turut disokong oleh pelbagai syarikat media serta rakan strategik industri, dan tema sambutan tahun ini ialah “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”.

Sementara itu, Anwar turut menekankan peranan penting etika dalam penggunaan AI, agar teknologi itu tidak menjejaskan integriti kewartawanan serta nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Beliau berkata, kemajuan teknologi seperti AI tidak boleh dilihat hanya dari sudut keupayaan teknikal atau ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan nilai, budaya serta prinsip kemanusiaan.
“Ini sebabnya mengapa soal keseimbangan AI dan etika perlu diterapkan dalam pemerkasaan ekonomi termasuk isu sustainability (kemampanan) yang kita bicarakan.

“Fokus kita adalah untuk menggapai langit – industri baru, teknologi baru, cabaran baru, artificial intelligence (kecerdasan buatan), digital, kesediaan untuk mengadakan beberapa perubahan dan anjakan paradigma termasuk dalam isu transisi tenaga,” katanya.
— BERNAMA – 14/6/2025