Satu lagi kejayaan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas negara merekodkan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, kedudukan terbaharu itu adalah pencapaian terbaik negara sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan.
Katanya, ia mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 seperti yang disasarkan Kerangka Ekonomi MADANI.
“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan,” katanya.

Ia adalah laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
MITI berkata, WCR 2025 menyaksikan lonjakan Malaysia dalam faktor Prestasi Ekonomi sebanyak empat anak tangga ke kedudukan keempat terbaik berbanding tempat kelapan tahun lalu.
Faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan pula kedua-duanya meningkat lapan anak tangga.
Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke tempat keenam berbanding kedudukan ke-17 tahun lalu berikutan pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran dan peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara.
MITI melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian, sekali gus memperkukuh ekosistem agenda daya saing negara.
Di peringkat operasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan pelaksanaan berkesan dalam peningkatan daya saing, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, berkata peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga itu mencerminkan bahawa faktor birokrasi saling berkait dengan antara lainnya pelaburan dan pembangunan industri.
Beliau berkata, kedua-duanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.
Katanya, pendekatan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip ‘whole of government’ juga membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh.
“MITI yakin bahawa dengan tadbir urus kukuh, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta kerjasama erat dengan industri, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033,” katanya.-17/6/2025