Wednesday - 18, June 2025

Shell tambah pelaburan lebih RM9 billion…

Share

Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan yang membuat kunjungan hormat keatas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa membawa khabar gembira.

Syarikat minyak terkemuka itu akan menambah pelaburan dalam negara ini melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri memberitahu usai rencana di Sasana Kijang, beliau menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi.

“Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.

“Saya manfaatkan kesempatan ini untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.

“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara. Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas. Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing.,”katanya.- 17/6/2025

Read more

khabar terbaru