Tidak perlu risau sangat berkaitan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang kononnya akan menyebabkan semua barangan dikenakan cukai.
Sedangkan kerajaan komited untuk mengambil kira pandangan berbagai pihak jika terdapat penambahbaikan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata rakyat tidak perlu risau, kerana peluasan skop cukai itu tidak melibatkan semua barangan, sebaliknya beberapa segmen yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.
“Bukan semua barangan dikenakan peluasan cukai ini. Sebagai contoh, barangan tempatan yang tidak dikilangkan atau melalui proses perindustrian dan sebagainya itu kekal sifar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kita akui akan ada keluhan dan keresahan, namun untuk melaksanakan sesuatu dasar atau polisi ini, jika terdapat perkara yang memerlukan pertimbangan saya tidak fikir kerajaan akan menolak untuk meneliti semula,” katanya.
Pada 9 Jun, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober 2024.
Langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil berkata keluhan serta rungutan yang dikemukakan segelintir pihak itu adalah perkara normal dan telah dihadapi kerajaan sewaktu melaksanakan penyasaran subsidi diesel.
“Pada peringkat permulaan, banyak pihak mempertikaikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini, namun pada akhirnya mengakui bahawa manfaat yang diterima melalui polisi terbabit,” katanya.-18/6/2025