Wednesday - 18, June 2025

Anwar doakan kesihatan Hadi selepas dirawat di IJN

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diberi kesihatan baik yang berterusan selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Anwar menitipkan doa itu menerusi hantaran di laman X selepas berkongsi ciapan Harian Metro yang memaklumkan Abdul Hadi berada dalam keadaan baik selepas menjalani rawatan di IJN.

“Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Hj Hadi, Insya-Allah,” katanya ringkas, hari ini.

Terdahulu anak Abdul Hadi, Dr Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu berkata, prosedur rawatan dijalani Ahli Parlimen Marang itu berjaya dilaksanakan.

Ketika dihubungi, semalam, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk bagaimanapun tidak memperincikan bentuk prosedur berkenaan.

Ditanya mengenai keadaan terkini bapanya, beliau hanya menjawab ringkas bahawa Abdul Hadi berada dalam keadaan baik dan memohon orang ramai terus mendoakan kesembuhan pemimpin PAS itu.

Namun, beliau menjelaskan Abdul Hadi tidak dibenar menerima pelawat pada masa terdekat atas nasihat doktor.

Sebelum ini, Abdul Hadi pernah menerima rawatan susulan di IJN.-18/6/2025

Read more

khabar terbaru