Thursday - 19, June 2025

Kes Ibu Pejabat UMNO atas nama bekas pemimpin, saman pindah milik didengar 24 Jun

Share

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 Jun ini untuk mendengar saman pemula difailkan UMNO bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti politik berkenaan.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan, yang mewakili UMNO, berkata tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara e-Review hari ini.

“Kes saman itu akan didengar di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain,” katanya.

Saman itu, yang difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan pada 6 Mac lepas, menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Bernama melaporkan menerusi saman itu, UMNO memohon perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftar atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, UMNO memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial di dalam dokumen hak milik.

Afidavit sokongan Mohd Sumali menyebut berdasarkan Borang Jadual 17, permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Okt 2015 bagi hartanah itu yang disertakan dengan Surat Akuan bertarikh 22 Okt 2015 telah disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.

“Dua pemegang amanah telah meninggal dunia iaitu Sanusi pada 9 Mac 2018 dan Daim pada 13 Nov 2024. Kematian Daim telah diketahui umum berikutan penyebaran berita tersebut di pelbagai platform sama ada luar talian mahupun dalam talian termasuk media sosial, portal berita, surat khabar, radio dan televisyen,” katanya.

Mohd Sumali berkata pemegang jawatan UMNO yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung telah bersetuju melalui Surat Akuan bertarikh 10 Dis 2015 untuk mendaftar semula hartanah tersebut daripada pemegang-pemegang amanah terdahulu kepada parti itu.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 28 Dis 2015 daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan untuk kebenaran pindah milik daripada Pemegang-pemegang Amanah tersebut kepada UMNO.

“Bagaimanapun, ketika proses untuk pindah milik melalui Borang 14A bertarikh 25 April 2016 dilakukan dan diserahkan oleh peguam plaintif kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, permohonan Borang 14A tersebut telah ditolak pada 18 Mei 2017 atas alasan nama seperti di dalam geran hartanah adalah tidak sama seperti dalam kad pengenalan,” katanya.-19/6/2025

Read more

khabar terbaru