Thursday - 19, June 2025

Setelah berbagai usaha gagal…SKMM bertindak terhadap saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas di platform Telegram

Share

Ini merupakan tindakan yang pertama seumpamanya diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penyedia platform media sosial.

SKMM memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’.

Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh SKMM.

Satu kenyataan SKMM pada Rabu berkata, tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].

Kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Memandangkan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, SKMM berkata, pihaknya telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.

Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi.

SKMM berkata, Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.

“SKMM sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing,” katanya. – 19/6/2025

Read more

khabar terbaru