Kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih, termasuk buah berkemungkinan akan dinilai semula.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini mengambil kira beberapa barangan tertentu seperti epal dan limau Mandarin yang tidak dihasilkan secara domestik, sebaliknya bekalan buah berkenaan diimport sepenuhnya dari negara luar.
“Saya berpandangan ada kemunasabahan untuk (kadar baharu SST ke atas barangan tertentu) dilihat semula. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti perkara ini,” katanya pada Khamis.
Media baru-baru ini, melaporkan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed, menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah import sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan barangan itu turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.
Ahmad Zahid berkata, pandangan dikemukakan Ameer berhubung perkara berkenaan perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, mengambil kira beberapa keperluan rakyat terhadap buah import.
“Hasil cukai buah kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST, maka harganya akan meningkat.
“Saya tahu tujuannya (tindakan mengenakan SST ke atas buah import) adalah untuk melindungi buah tempatan, tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau Mandarin,” katanya.-19/6/2025