“Agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari dan bukan sekadar dalam kenyataan, tetapi dalam tindakan berstruktur.”
Hakikat itu ditegaskan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah yang menolak dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku.
Menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Khamis beliau berkata dakwaan itu tidak berasas samasekali.
“Sejak awal pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau telah menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
“Pendirian ini diterjemah melalui tindakan. Sebarang teguran dilihat sebagai peluang untuk menambah baik – dan pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu,” katanya.
Tunku Nashrul berkata, sejak awal pentadbiran selepas PRU15, Anwar menegaskan kerajaan akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
Katanya, seperti yang telah dibentangkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi MADANI, teras utama adalah untuk menaikkan siling, iaitu memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat.
Beliau beri dua contoh pencapaian dalam reformasi ekonomi dan birokrasi.
“Malaysia di kedudukan ke-23 dalam indeks daya saing dunia (IMD), melonjak 11 anak tangga dan merekodkan kedudukan terbaik negara sejak 2020. Peningkatan ini bukanlah satu kebetulan tetapi hasil daripada komitmen berterusan seluruh jentera kerajaan madani.
“Ia membuktikan reformasi ekonomi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil dan kerangka ekonomi Madani terus memastikan ekonomi negara di landasan yang tepat.
“Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiksal, mempermudah urusan perniagaan serta mempercepatkan reformasi penyampaian perkhidmatan awam, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah reformasi (terhadap) kerenah birokrasi,” katanya.
Tunku Nashrul juga memaklumkan bahawa indeks persepsi birokrasi negara turut melonjak 22 anak tangga, yang menurutnya merupakan isyarat jelas bahawa langkah reformasi membuahkan hasil yang nyata.- 19/6/2025