Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Tan Sri Razarudin Husain berkuat kuasa hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd Khalid, 60, pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021.
Majlis itu turut disempurnakan dengan simbolik penyerahan tongkat kuasa daripada Razarudin kepada Mohd Khalid.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, masih kekal sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Majis Serah Terima Tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam PDRM itu disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Majis Serah Terima Tugas dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd. Khalil yang disempurnakan Saifuddin Nasution.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Razarudin dan Mohd. Khalid serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan Saifuddin Nasution.
Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) antara Puan Sri Zainah Othman dengan Datin Seri Munirah Che Rose, disaksikan isteri Saifuddin Nasution, Datin Seri Norhayati Musa.
Dalam pada itu, Saifuddin dalam kenyataan medianya memaklumkan, pelantikan Mohd Khalid itu berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang kepolisan, mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM.
“Beliau merupakan pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama.
“Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara.
“Beliau juga pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Razarudin atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.-20/6/2025