Tuesday - 24, June 2025

Pengkalan tentera Amerika di Qatar sasaran terbaru Iran

Share

Pangkalan Udara Al Udeid yang merupakan penempatan tentera Amerika Syarikat yang terbesar di Timur Tengah menjadi sasaran terbaru peluru berpandu Iran.

Iran dilaporkan melancarkan enam peluru berpandu dan letupan boleh didengari di seluruh Doha termasuk di bandar Lusail pada malam Isnin, sejurus selepas Qatar mengumumkan untuk menutup ruang udaranya berikutan serangan AS ke atas Iran.

Saksi awam juga memberitahu tentang melihat ‘lintasan cahaya di langit malam’, sementara siren mula kedengaran di lokasi yang dipercayai diserang.

Perkembangan itu adalah susulan ancaman Iran untuk membalas serangan AS ke atas tapak nuklearnya, lapor Reuters.

Agensi berita itu turut melaporkan saksi mendengar bunyi letupan di sekitar Doha, mencetuskan kebimbangan berhubung potensi ketegangan yang semakin memuncak di rantau Teluk.

Sebelum ini, ada laporan yang memetik ada ancaman terhadap pangkalan Udara Al Udeid di Qatar sejak tengah hari Isnin.

Namun, tiada pengesahan atau maklumat terkini berhubung ancaman berikut.

Sementara itu, Reuters turut melaporkan bahawa sistem pertahanan udara di pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq telah diaktifkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan.

Kementerian Pertahanan Qatar dalam kenyataan berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman yang mungkin timbul.

Qatar juga memaklumkan bahawa tiada yang terkorban dilaporkan setakat ini susulan serangan terhadap pangkalan tentera AS tersebut.

Sebelum itu, Kementerian Luar negara Teluk itu, memaklumkan mereka menutup ruang udara bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di negara itu.

“Selaras dengan komitmen Qatar terhadap keselamatan semua individu di wilayahnya, pihak berkuasa berkaitan telah memutuskan untuk menggantung sementara navigasi udara di ruang udara negara ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang lebih meluas berikutan keadaan serantau yang semakin meruncing.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Qatar sedang “memantau situasi secara dekat dan berterusan” serta “menilai perkembangan bersama rakan serantau dan antarabangsa.”-24/6/2025

Read more

khabar terbaru