Tuesday - 24, June 2025

Rakyat mahu tindakan, bukan alasan – PM Anwar

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rakyat menginginkan tindakan tegas, bukan sekadar alasan, dalam menangani isu kelewatan pelaksanaan projek dan kerenah birokrasi yang berlarutan sejak era 1980-an.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 1/2025 hari ini, yang membincangkan penambahbaikan pelaksanaan projek, cadangan pembangunan negeri, serta pelaksanaan model sekolah vertikal di bandar utama.

“Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita, dan rakyat menuntut tindakan, bukan alasan,” tegas Anwar dalam kenyataan di Facebook.

“Kerajaan MADANI perlu lebih proaktif, cekap, dan berfokus pada penyelesaian tuntas. Setiap sen peruntukan Rancangan Malaysia harus dimanfaatkan sebaiknya demi rakyat,” tambahnya.

Anwar turut menekankan perlunya penyelesaian segera terhadap isu teknikal melibatkan pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, ICU JPM, kerajaan negeri, serta agensi pelaksana projek.

Beliau memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipimpin Ketua Setiausaha Negara akan mempercepat penyelesaian masalah tersebut.

Selain itu, kerajaan komited melaksanakan model sekolah vertikal di bandar padat seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan infrastruktur pendidikan.

“Inisiatif ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu lama dengan pendekatan baharu dan lebih efisien,” ujarnya.-24/6/2025

Read more

khabar terbaru