Dua program biasiswa baharu, LEGASI dan CARE, ditawarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pelajar cemerlang serta golongan kurang berkemampuan yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi dan multimedia.
Program biasiswa yang dirangka bagi membentuk bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Dua program biasiswa itu adalah Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE, yang kali pertama ditawarkan oleh MCMC, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan barisan bakat berkemahiran tinggi dan demi memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.
“Inisiatif penting ini mencerminkan komitmen MCMC dalam membangunkan rantaian bakat yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk menghadapi masa depan, sekali gus berkhidmat dalam sektor komunikasi dan multimedia negara,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang MCMC untuk memperkukuh keupayaan digital negara, kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan belia muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan internet kebendaan (IoT).
“Biasiswa ini menunjukkan komitmen MCMC untuk melahirkan bakat muda yang akan menyokong kemajuan digital negara. Melalui peluang berdasarkan merit dan keperluan, MCMC membantu golongan belia berkembang, menyumbang secara bermakna dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia,” menurut kenyataan itu.
Biasiswa MCMC LEGASI atau Leaders of the Next-Generation Scholarship adalah biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara.
“Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC. Para penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.
“Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian,” menurut MCMC.
Sementara itu, Biasiswa MCMC CARE adalah biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.
“Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga berpeluang menjalani latihan industri di MCMC, yang akan memperkenalkan mereka kepada fungsi pengawalseliaan dan kerja dasar yang selari dengan keutamaan digital negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Permohonan bagi kedua-dua program biasiswa ini dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 24 Julai 2025. Sebarang maklumat terkini akan dikongsikan melalui platform media sosial rasmi MCMC, manakala penerima yang berjaya akan dihubungi pada Ogos 2025.
Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian, sila layari: https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1 -24/6/2025