Wednesday - 25, June 2025

Anwar berbual menerusi telefon dengan Presiden Iran,Emir Qatar dan Sultan Brunei…

Share

Hari yang sibuk…Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa telah berbual menerusi telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian,Emir Qatar,Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Sultan Brunei,Sultan Hassanal Bolkiah.

Menerusi laman facebooknya Perdana Menteri beritahu dalam perbualan dengan Masoud beliau dimaklum mengenai perkembangan terkini konflik antara Iran dan rejim Zionis Israel.

Anwar menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap Presiden Iran atas komitmen beliau dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin yang saban hari dizalimi Israel.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza.

“Presiden Masoud mengesahkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat bahawa Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran,” kata Anwar.

Menurut Anwar, Masoud meminta negara-negara Islam tidak terpengaruh dengan naratif barat yang berat sebelah terhadap tindakannya itu.

“Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.

Beliau turut menyatakan bahawa dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.

“Malaysia mengecam kemunafikan negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah.

“Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan setingginya kepada Presiden Iran itu atas usaha murni beliau dalam memudahkan urusan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di Iran

“Dalam perbincangan sama, Malaysia menyambut baik keputusan untuk menyambung semula operasi penerbangan Mahan Air dari Tehran ke Kuala Lumpur yang tentunya akan membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat.

Dalam perbualan dengan Emir Qatar pula Anwar telah merakamkan penghargaan atas peranan penting beliau dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat.

Sheikh Tamim memaklumkan bahawa meskipun Qatar berada dalam kedudukan sukar tatkala turut terheret dalam konflik ini, beliau memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau. Saya menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini, termasuk peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.

Sheikh Tamim turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden Trump dan berbicara mengenai usaha damai ini. Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa Amerika Syarikat menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan.

Menurut Anwar Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan. Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia.

Dalam perbualan dengan Sultan Brunei,Anwar bertanya khabar kesihatan Baginda susulan rawatan yang diterima di Malaysia baru-baru ini.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Baginda dilaporkan bertambah baik setakat ini, dan terus dipantau rapi oleh pasukan perubatan, termasuk penglibatan petugas kesihatan dari Malaysia.

“Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat cemerlang serta dedikasi pasukan perubatan Malaysia yang terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan Baginda.

“Dalam perbualan tersebut, kami turut menyentuh perkembangan positif hubungan dua hala Malaysia dan Brunei yang kekal erat, serta perkembangan semasa isu-isu rantau ASEAN yang terus berjalan dengan lancar dan konstruktif,”kata Perdana Menteri.- 24/6/2025

Read more

khabar terbaru