FOKUS

Parti MUDA tawar Syed Saddiq kembali jadi Presiden…

Ingat balik…Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah meletak jawatan sebagai Presiden parti MUDA pada Nov 2023 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkannya atas pertuduhan dalam kes rasuah RM1.12 juta.

Semalam,Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membebaskan beliau daripada semua pertuduhan dalam kes itu.

Ekoran itu Jawatankuasa Eksekutif pusat Muda sebulat suara memutuskan untuk menawarkan kembali jawatan presiden parti kepada Syed Saddiq.

Pemangku presiden parti Amira Aisya Abd Aziz bagaimanapun berkata jawatankuasa itu menghormati pendirian Syed Saddiq untuk diberi masa untuk membincangkan tawaran itu.- 26/5/2025

Syed Saddiq lepas dan bebas…

Detik yang sungguh gembira dan melegakan…Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memeluk ibu bapanya sejurus Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Suasana yang mengharukan itu turut diperhatikan penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang turut hadir dalam mahkamah.

Keputusan yang ditunggu penuh debaran ramai pihak dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Mereka sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Melalui penghakiman dibacakan Hakim Noorin selama lebih sejam itu, menyatakan mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.

“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta).

“Kami juga mendapati bahawa pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit. – 25/6/2025

BERITA SEBELUM INI :

Keputusan rayuan Syed Saddiq diketahui esok,Rabu

Keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan diketahui esok.

Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada 9 pagi.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selaku perayu serta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lepas.

Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020 dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – Bernama – 24/6/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button