Di tengah-tengah keghairahan penggunaan platform digital, tahukah anda terdapat 25.1 juta pengguna media sosial di negara ini yang menjadikan Malaysia antara negara dengan bilangan pengguna media sosial tertinggi di ASEAN?
Namun, kecenderungan ramai pengguna untuk berkongsi data peribadi secara berlebihan kini menjadi tanda amaran besar kepada pakar keselamatan siber.
Maklumat sensitif seperti lokasi seharian, rutin keluarga, hingga butiran vaksinasi dan sekolah anak turut tersebar tanpa disedari.
Persoalan yang kini semakin hangat dibincangkan adalah siapakah yang lebih bertanggungjawab dalam melindungi data rakyat — kerajaan atau syarikat teknologi global?
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Selvakumar Manickam menegaskan bahawa walaupun orang ramai bimbang dengan pengumpulan data oleh kerajaan, mereka sering mengabaikan bagaimana syarikat teknologi global seperti Meta (Facebook), ByteDance (TikTok), dan X (dahulu Twitter) memprofilkan pengguna untuk keuntungan komersial.
Beliau mengingatkan skandal Cambridge Analytica, di mana data pengguna Facebook dibocorkan untuk manipulasi politik, sebagai contoh jelas penyalahgunaan data oleh syarikat swasta.
“Jika kita risau tentang data disalahgunakan, platform yang mengaut keuntungan besar daripada data pengguna harus dikawal dengan lebih ketat,” ujarnya.

Dr. Selvakumar menegaskan bahawa tiada perkhidmatan digital benar-benar percuma. “
Apabila pengguna mendaftar untuk aplikasi ‘percuma’, mereka sebenarnya menukar data peribadi seperti corak penggunaan, kenalan, dan lokasi sebagai bayaran,” terang beliau.
Mengulas lanjut, kebanyakan pengguna kata Dr. Selvakumar, menerima terma dan syarat tanpa membaca, membenarkan pengumpulan data berskala besar.
“Syarikat teknologi membina empayar bernilai bilion dolar berdasarkan data pengguna, tetapi apabila kerajaan mengumpul data untuk keselamatan siber, ia sering dikritik tanpa alasan kukuh,” tambahnya.
Gergasi teknologi seperti Google dan Apple disebut sebagai contoh syarikat yang mengumpul data secara meluas. Walaupun Apple mendakwa mementingkan privasi, data asas seperti log panggilan masih disimpan. Google pula menggunakan data pengguna untuk pengiklanan, pembangunan produk, dan latihan kecerdasan buatan (AI).
“Adakah orang ramai sedar sejauh mana data mereka digunakan untuk melatih AI?” soal Dr. Selvakumar.
Beliau menegaskan bahawa data pengguna memainkan peranan penting dalam memerangi jenayah siber seperti penipuan, scam, dan buli siber.

Namun, untuk memastikan keyakinan awam, agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu melaksanakan pengawasan ketat.
“Kerajaan harus memastikan data disimpan mengikut piawaian keselamatan tertinggi. Rakyat perlu menyokong usaha membina persekitaran digital yang selamat, bukan hanya menuding jari tanpa asas,” tegasnya.
Dr. Selvakumar menggesa rakyat Malaysia untuk lebih peka tentang privasi data dan menyokong inisiatif keselamatan siber kerajaan.
“Persoalannya, adakah melindungi keselamatan rakyat lebih penting daripada tuduhan pelanggaran privasi yang tidak berasas?” katanya.
Dengan ancaman siber semakin kompleks, kerjasama antara kerajaan, industri, dan pengguna diperlukan bagi memastikan perlindungan data yang lebih kukuh di Malaysia.
Perbincangan awam mengenai keselamatan data tercerus selepas kerajaan melalui MCMC mencadangkan bahawa inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) yang menimbulkan kebimbangan privasi.
Syarikat telekomunikasi, termasuk U Mobile, Telekom Malaysia (TM), Maxis, CelcomDigi dan YTL Communications, juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa semua data yang dikongsi dengan MCMC adalah tanpa nama sepenuhnya dan dikendalikan mengikut keperluan undang-undang.-26/6/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK