“Ini satu angka yang membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu.” Itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai jumlah percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022.
Nak tahu jumlahnya? Perdana Menteri kata hampir 4.7 bilion.
“Atas keperluan ini, Kerajaan bersetuju untuk memperluas skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) agar merangkumi semua bentuk jenayah siber, di samping menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan,”katanya.
Perdana Menteri beritahu demikian dalam hantaran di facebooknya setelah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) tengah hari Khamis.
Ia bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.
Menurut Anwar pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia.
“Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC, termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat. Pendekatan no wrong door turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.
“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat. Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,”katanya.- 26/5/2025