Malaysia dan Indonesia berkomitmen untuk menyelesaikan isu sempadan maritim di kawasan Ambalat secara damai dan saling menguntungkan kedua-dua pihak.
Pendekatan yang dicadangkan termasuk penggunaan kaedah Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi manfaat daripada sumber semula jadi di kawasan berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penyelesaian sebegini dapat mengelakkan mana-mana pihak daripada terasa ‘rugi’, serta membuka ruang untuk sama-sama membangunkan ekonomi wilayah sempadan tersebut.
“Jadi, mengapa pula kita tidak menerokai hasil bumi di situ bersama-sama? Jadi, dua-dua negara boleh mendapat manfaatnya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang pada Ahad.

Beliau turut menegaskan bahawa perbincangan dan rundingan berkaitan sempadan akan terus diteruskan secara diplomatik, tanpa mencetuskan ketegangan antara dua jiran rapat ini.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah menyatakan komitmen mereka untuk mempercepatkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di kawasan Ambalat.
Dalam sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Jakarta, Anwar menekankan pentingnya kerjasama ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, Mohamad turut memaklumkan bahawa beliau akan memulakan lawatan ke Rom, Itali dan Paris, Perancis esok, bertemu rakan menteri luar negeri negara berkenaan.
Antara isu utama yang akan dibincangkan adalah perkembangan krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin, serta ketegangan terkini antara Iran dan rejim Zionis Israel.
“Itu sentiasa menjadi perbincangan kita iaitu (konflik) di Gaza dan sekarang ini di Iran… itu akan menjadi perkara pokok,” tambahnya.-30/6/2025