Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Ahad beritahu satu hal yang zahirnya nampak kecil tetapi realitinya adalah satu masalah besar.
Beliau mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal.
Bercakap kepada media selepas satu majlis di Pasir Gudang,beliau kata KKM sudah mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan.
Katanya, isu kekurangan jururawat atau sumber manusia kini menjadi isu utama dihadapi KKM berbanding digitalisasi.
“Isu kekurangan jururawat satu realiti yang KKM secara berterusan sedang tanganinya.”
Antara 2020 hingga tahun lalu seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM dilaporkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta.
Dr Dzulkefly berkata, ia membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak direkodkan meletak jawatan, antara 2020 hingga tahun lalu.
Keadaan itu dikenal pasti berpunca dari tawaran yang lebih besar, sekiranya petugas kesihatan terbabit beralih ke sektor swasta.- 29/6/2025