Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan bahawa langkah kerajaan menyemak dan merombak Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan tindakan tergesa-gesa atau reaktif selepas dikritik.
Sebaliknya, beliau menerangkan proses tersebut telah bermula sejak dua minggu lalu dan melibatkan perbincangan secara terperinci dalam Jemaah Menteri.
Menurut Fahmi, perbincangan itu bermula daripada draf RMK13 yang dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi kepada kabinet, sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan agar semua kementerian meneliti dan memberi maklum balas pada Jumaat minggu lepas.
“Seperti yang umum sedia maklum, sebarang dasar atau keputusan pentadbiran mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” jelasnya.
Sehubungan itu, satu sidang khas Jemaah Menteri diadakan pada Isnin lepas bagi mengkaji pandangan yang diterima, sebelum memutuskan pada mesyuarat seterusnya bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Aziz, akan mengambil alih tugas dan fungsi Menteri Ekonomi untuk “mengolah dan merombak semula” dokumen RMK13.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan telah mempersoalkan langkah kerajaan menyemak semula RMK13 sebagai reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial.
Perkara itu susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam, yang memaklumkan Amir Hamzah telah ditugaskan untuk “mengolah dan merombak semula” RMK13 sambil menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.-30/6/2025