Tuesday - 1, July 2025

Polimek lantikan hakim: Ini mana boleh jadi? Institusi yang sepatutnya memiliki integriti dan bebas sudah dipolitikkan – PM

Share

Polimek tentang lantikan dalam badan kehakiman negara yang hangat berkisar pada kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan bersara wajib telah mencetuskan pelbagai kemungkinan termasuk keraguan pada kredibiliti dan kebebasan institusi penting itu.

Situasi ini dipercayai telah mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mencelah’ masuk untuk menegur agar pelantikan atau penyambungan tempoh perkhidmatan penjawat awam termasuk hakim seharusnya tidak dijadikan bahan politik atau dinilai berdasarkan sentimen kelompok tertentu.

Beliau membangkitkan hal ini dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Isnin.

Maimun,Ketua Hakim Negara ke-10 itu dijadual bersara secara rasmi apabila mencapai usia 66 tahun pada 2 Julai ini (Rabu) iaitu umur persaraan wajib hakim dan hari terakhir perkhidmatan beliau pada Selasa.

Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Terdapat beberapa pihak termasuk dari NGO dan kalangan ahli politik buat kenyataan terbuka desak kerajaan sambung kontraknya.

Anwar menjelaskan mana-mana penjawat awam atau hakim, apabila sampai tempoh persaraan, ada prosedurnya.

“Tempoh persaraan itu tidak automatik, apabila bersara ia tidak terus disambung secara automatik.

“Dalam keadaan ini saya ditegur. Malah ada satu kempen mesti sambung, jangan sambung. Ini mana boleh jadi? Institusi yang sepatutnya memiliki integriti dan bebas sudah dipolitikkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, suasana sebegitu memperlihatkan keputusan untuk menyambung atau tidak menyambung perkhidmatan seseorang itu dijadikan ukuran kesetiaan politik oleh pihak-pihak tertentu.

“Kalau tak sambung, kumpulan ini setuju. Kalau sambung, kumpulan ini juga setuju. Jadi tidak wajar.

Tambahnya lagi, tidak sepatutnya wujud sebarang bentuk kempen atau tekanan politik terhadap proses pelantikan penjawat awam termasuk dalam institusi kehakiman.

“Maknanya esok, kalau penjawat awam katalah dari Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) enam bulan sebelum bersara, dikempen habis-habisan. Kalau tak sambung, dikatakan khianat. Kalau sambung, juga khianat.

“Tak boleh begitu dan tak pernah berlaku begitu. Tidak harus berlaku begitu,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar menolak dakwaan bahawa semua keputusan pelantikan dan penyambungan jawatan tertentu terletak di bawah kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Ini bukan kuasa Perdana Menteri seorang. Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu prosesnya.

“Ada auruhanjaya, ada Perdana Menteri, ada Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan-pelantikan baru perlu dapat perkenan Tuanku kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan kehakiman malah hanya berhubung secara rasmi dengan Ketua Hakim Negara.

“Sebab itu saya elak daripada menemui mana-mana hakim kanan, melainkan Ketua Hakim Negara untuk berbincang.

“Saya ucap terima kasih kerana selama ini hubungan secara peribadi dan perbincangan itu baik. Tafsiran di luar itu soal lain. Tapi bagi saya, dalam semua perjumpaan itu saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman.

“Apa yang dia (hakim) nak putus, itu keputusan mereka. Saya tidak pernah campur. Tapi itu pun dipolitikkan,” ujarnya.

Sebagai contoh, beliau merujuk dua kes besar yang menjadi perhatian umum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya menerima keputusan lepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Kalau Najib dapat DNAA, dituduh Perdana Menteri campur tangan dan khianat. Salah. Kena bagi DNAA.

“Kemudian satu pihak lagi, Syed Saddiq baru-baru ini dapat DNAA. Pun dari satu pihak, salah juga.

“Kalau tak dapat DNAA, ia pun salah juga. Saya kata, bukan urusan saya. Soal saya setuju atau tidak, pendirian peribadi saya itu bukan isu. Kita kena hormat keputusan hakim,” katanya.- 30/6/2025

Read more

khabar terbaru