Tuesday - 1, July 2025

Anwar nafi kuasa mutlak PM dalam pelantikan Ketua Hakim, semua ikut proses perlembagaan

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak memiliki kuasa mutlak dalam urusan pelantikan atau penyambungan jawatan ketua hakim dan hakim-hakim kanan sebaliknya semua keputusan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ada Suruhanjaya, ada Perdana Menteri, ada Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan-pelantikan baru perlu dapat perkenan Tuanku kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti.

“Saya nak tegaskan, ini bukan kuasa Perdana Menteri seorang. Kalau faham Perlembagaan, tahu ada prosesnya,” kata Anwar dalam ucapannya semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi Isnin.

Anwar turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak yang mempolitikkan pelantikan atau penyambungan jawatan hakim, hingga menjejaskan kebebasan dan integriti institusi kehakiman.

Perdana Menteri berkata, suasana sebegitu memperlihatkan keputusan untuk menyambung atau tidak menyambung perkhidmatan seseorang itu dijadikan ukuran kesetiaan politik oleh pihak-pihak tertentu.

“Kalau tak sambung, kumpulan ini setuju. Kalau sambung, kumpulan ini juga setuju. Jadi tidak wajar.

“Bila satu kes disambung, dikata khianat. Satu kes tak disambung, juga dikata khianat. Kalau saudara berada dalam posisi Perdana Menteri, nah… terima sajalah. Sabar.

“Tapi saya nak sebut, itu keadaannya sekarang. Saya rasa bila institusi begini dipolitikkan, ia jadi bahan umum dan dengan keputusan ini, maknanya ada pengkhianatan berlaku,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tidak sepatutnya wujud sebarang bentuk kempen atau tekanan politik terhadap proses pelantikan penjawat awam termasuk dalam institusi kehakiman.

“Maknanya esok, kalau penjawat awam katalah dari Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) enam bulan sebelum bersara, dikempen habis-habisan. Kalau tak sambung, dikatakan khianat. Kalau sambung, juga khianat.

“Tak boleh begitu dan tak pernah berlaku begitu. Tidak harus berlaku begitu,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan kehakiman malah hanya berhubung secara rasmi dengan Ketua Hakim Negara.

“Sebab itu saya elak daripada menemui mana-mana hakim kanan, melainkan Ketua Hakim Negara untuk berbincang.

“Saya ucap terima kasih kerana selama ini hubungan secara peribadi dan perbincangan itu baik. Tafsiran di luar itu soal lain. Tapi bagi saya, dalam semua perjumpaan itu saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman.

“Apa yang dia (hakim) nak putus, itu keputusan mereka. Saya tidak pernah campur. Tapi itu pun dipolitikkan,” ujarnya.

Sebagai contoh, beliau merujuk dua kes besar yang menjadi perhatian umum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya menerima keputusan lepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Kalau Najib dapat DNAA, dituduh Perdana Menteri campur tangan dan khianat. Salah. Kena bagi DNAA.

“Kemudian satu pihak lagi, Syed Saddiq baru-baru ini dapat DNAA. Pun dari satu pihak, salah juga.

“Kalau tak dapat DNAA, ia pun salah juga. Saya kata, bukan urusan saya. Soal saya setuju atau tidak, pendirian peribadi saya itu bukan isu. Kita kena hormat keputusan hakim,” katanya.

Terdahulu media melaporkan kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada Rabu ini masih menjadi tanda tanya sama ada diberi lanjutan tempoh perkhidmatan enam bulan lagi.

Ketua Hakim Negara ke-10 itu dijadual bersara secara rasmi apabila mencapai usia 66 tahun pada 2 Julai ini (Rabu) iaitu umur persaraan wajib hakim dan hari terakhir perkhidmatan beliau pada Selasa.

Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.-30/6/2025

Read more

khabar terbaru