Tuesday - 1, July 2025

Insiden Putra Heights: Tiada unsur khianat, kecuaian dikenal pasti – KP Selangor

Share

Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam insiden di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata rumusan itu diperoleh hasil siasatan teknikal yang dilakukan susulan insiden letupan saluran paip gas bawah tanah berkenaan.

Beliau berkata pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.

“Pembinaan itu berada di zon penampan dengan jarak 40 meter dari paip gas Petronas,” katanya dalam sidang media laporan siasatan insiden letupan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Husdin Che Amat. – Bernama

Letupan Putra Heights: Paip gas penuhi spesifikasi teknikal, tanah tidak stabil punca insiden

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan paip gas yang terlibat dalam insiden letupan di Putra Heights, Subang Jaya memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat berkata sebaliknya hasil analisis makmal mendapati keadaan bahagian bawah paip yang tidak disokong sepenuhnya oleh tanah, dikenal pasti telah lembut dan lembap seterusnya memberi tekanan kepada permukaan paip.

Beliau berkata keadaan tanah yang lemah menyebabkan paip bergerak berulang kali sehingga menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan pada permukaan paip.

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar.

“Analisis metalografi turut menunjukkan lebihan tegangan menjadi punca utama kegagalan dan kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di Shah Alam, pada Isnin.

Husdin berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, lima sampel diambil dan dihantar ke makmal Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bermula pada 15 April dan terakhir pada 8 Mei lepas.

Menurut Husdin, metodologi siasatan yang digunakan bermula dengan penyiasatan di lapangan, analisis ujian makmal, semakan sistem kawalan, analisis perkomputeran sebelum semakan hipotesis dibuat dengan mengambil kira sistem pengoperasian, integriti struktur dan bahan paip serta tekanan luaran.

“Mengambil kira hasil siasatan oleh semua agensi terlibat, kita merumuskan tiga elemen iaitu paip gas patah pada kimpalan berbentuk tarikan, tanah yang longgar dan lembut jadi punca utama dan pergerakan iaitu paip alami pergerakan ketara sebelum kegagalan atau terbakar.

“Kesimpulannya, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor dan akhirnya meletup,” katanya.

Husdin berkata siasatan bagi kes itu dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dan menegaskan tiada unsur sabotaj dan kecuaian yang dikenal pasti.

Mengulas lanjut, Husdin berkata sebagai langkah pencegahan, pihaknya telah mengarahkan Petronas mengenal pasti lokasi laluan paip sepanjang 2,680 kilometer bermula dari Jerteh, Terengganu ke Singapura yang berpotensi berlaku insiden seperti Putra Heights.

“Petronas sudah mengenal pasti kawasan itu dan mereka diarah melakukan penambahbaikan segera di jajaran terbabit,” katanya yang enggan memaklumkan kawasan berkenaan.

–BERNAMA

Read more

khabar terbaru