Tuesday - 1, July 2025

Kes rasuah lesen carigali mineral Sabah: Dua ADUN dan ahli perniagaan mengaku tak salah

Share

Kes skandal rasuah lesen carigal mineral di Sabah yang didakwa ada bukti rakaman audio visual melibatkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah masuk ke mahkamah.

Hari ini,Isnin dua orang ADUN dan seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Dua ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob ADUN Kawasan Sindumin dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy ADUN Kawasan Tanjung Batu.

Ahli perniagaan ialah Datuk Tei Jiann Cheing.

Tei, seorang ahli perniagaan dari Selangor juga adalah pemberi maklumat dalam kes ini.

Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di Kota Kinabalu pada 2 petang, 6 Mac 2023.

Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di Kota Kinabalu pada 11 malam, 12 Mei 2023.

Tei, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad Suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Sementara itu menerusi satu kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor beritahu beliau akan meneliti kedudukan dua ADUN berkenaan dalam kerajaan sekarang pada masa yang sesuai selepas menerima semua maklumat dan laporan berkaitan.

“Hajiji berkata kerajaan negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan,” menurut kenyataan itu.-30/6/2025

Read more

khabar terbaru