Wednesday - 2, July 2025

Kerjasama MCMC dan LLM berdasarkan ‘di mana ada jalan, di situ ada internet’

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengenal pasti hampir 50 kilometer jajaran lebuh raya dan jalan utama yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi langsung, di bawah inisiatif kerajaan “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet”.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perbincangan sedang berjalan namun lokasi-lokasi spesifik masih belum dikenal pasti.

“Harapan saya ialah lokasi-lokasi ini dapat dimasukkan dalam Fasa 2 inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), memandangkan kebanyakan kawasan tersebut mungkin memerlukan pembinaan menara telekomunikasi,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran Menara (MOCN) 4G enam hala YES di Tanjung Asam, Gertak Sanggul.

Projek tersebut merupakan kerjasama antara YTL Communications Sdn Bhd serta Konsortium Jaringan Selangor (KJS) yang dijangka memberi manfaat kepada 500 penduduk serta 350 pengguna jalan raya harian termasuk kampung-kampung nelayan berdekatan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Ia juga dijangka merangsang aktiviti ekonomi di Gertak Sanggul, sebuah destinasi pelancongan popular di pantai selatan Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, menara tersebut akan memudahkan komunikasi antara penduduk tempatan, pelancong dan pihak berkuasa – yang berpotensi menyelamatkan nyawa memandangkan kejadian lemas yang pernah berlaku di kawasan itu.

Menurut Fahmi, projek ini adalah sebahagian daripada kerjasama MCMC dengan pemain industri di bawah Kerangka Perkongsian Infrastruktur Rangkaian (NISF), di mana semua syarikat telekomunikasi boleh berkongsi satu menara untuk mengatasi jurang liputan di kawasan yang kurang penduduk tetapi mempunyai kepentingan ekonomi.

Projek menara telekomunikasi yang serupa telah pun dilaksanakan di seluruh negara, termasuk dua menara di Bukit Putus, Negeri Sembilan; satu di PR1MA Gambang, Pahang dan satu lagi di sepanjang Lebuhraya Pantai Barat di Banting, Selangor.

“Kaedah perkongsian menara ini sesuai untuk kawasan yang berpenduduk rendah tetapi penting dari segi ekonomi,” tambahnya.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata MCMC akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan aplikasi Nexus, yang dibangunkan oleh suruhanjaya tersebut bagi mendapatkan data masa nyata mengenai sambungan internet di kawasan tertentu.

“MCMC akan dapat mengambil tindakan yang lebih menyeluruh dan berasaskan data. Kita tidak perlu lagi menunggu aduan pengguna, sebaliknya boleh secara proaktif mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah (sambungan),” katanya.-2/7/2025

Read more

khabar terbaru