Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the auxin-news domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/vhosts/x-press.my/httpdocs/wp-includes/functions.php on line 6131
Kuasa baharu AADK… arah pengguna daun ketum jalani pemulihan - X-press Malaysia
Home / TAHUKAH ANDA / Kuasa baharu AADK… arah pengguna daun ketum jalani pemulihan

Kuasa baharu AADK… arah pengguna daun ketum jalani pemulihan

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengguna daun ketum untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan milik agensi berkenaan, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala ketagihan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kuasa itu diperoleh selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, pada tahun lepas.

“Sebelum ini mereka mungkin bebas kerana (AADK) tiada kuasa undang-undang untuk menahan mereka, tetapi kini, walaupun tidak ketagih mereka tetap boleh dikenakan tindakan rawatan jika didapati positif menyalahgunakan bahan itu,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Pencegahan Dadah yang diterbitkan oleh Bernama TV, malam tadi.

Ruslin berkata, tindakan sama juga boleh diambil terhadap pengguna bahan terlarang yang lain seperti ekstasi, walaupun individu itu tidak menunjukkan ketagihan.

“Walaupun individu berkenaan ambil (dadah) setahun sekali, jika dia dikesan kita boleh ambil tindakan bawah Akta Penagih Dadah,” katanya.

Ruslin berkata, kerajaan turut menggalakkan rawatan secara sukarela bagi mereka yang salah guna dadah, memandangkan pendekatan berkenaan dilihat mampu memudahkan proses pemulihan individu yang terlibat.

Beliau berkata, pendekatan itu, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengekang penyalahgunaan bahan terlarang melalui pendekatan rawatan serta pemulihan yang lebih inklusif dan progresif.

Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas telah meluluskan rang undang-undang berkenaan, yang antaranya akan membantu kerajaan mengawal selia dan menambah baik pengurusan serta pengoperasian pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 tidak mempunyai peruntukan keperluan pendaftaran bagi pusat pemulihan itu.-2/7/2025

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *