Sabah mengorak langkah dalam dunia penyiaran digital dengan pelancaran Borneo.TV, platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya negeri, oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Hajiji berkata platform dengan slogan ‘Cerita Sabah di Mata Dunia’ itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global.
“Gaya hidup masyarakat hari ini daripada komunikasi hingga hiburan, segalanya dipacu digital. Justeru, Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri.
“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” katanya ketika melancarkan Borneo.TV di Menara Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.
Bernama melaporkan dalam majlis itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana kerajaan negeri.
Hajiji berkata pelancaran platform penyiaran itu adalah langkah tepat dalam era media penstriman over-the-top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih
luas.
Beliau berkata kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan Borneo.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia.-2/7/2025