Wednesday - 2, July 2025

PM tiba di Itali dalam misi perkukuh hubungan dagang dan teknologi

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Rom sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Itali.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom jam 8.20 malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam, Duta Kanan Hal Ehwal Protokol Itali, Fabrizio Romano serta bekas duta Itali ke Malaysia, Massimo Rustico.

Ini adalah lawatan sulung Perdana Menteri ke Itali atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.

Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Meloni di Istana Chigi, Rom pada 3 Julai.

Pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.

Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Asia Barat.

Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang akan dihadiri pemimpin industri kedua-dua negara bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.

Sebaik tiba, Anwar mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Itali, yang menurut Anwar merupakan aset penting kepada negara.

Perdana Menteri menegaskan, diaspora Malaysia berperanan sebagai duta kecil yang membawa nama negara di persada antarabangsa.

“Justeru, saya titipkan pesan agar mereka terus merebut setiap peluang dan ruang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan, demi menyumbang semula kepada tanah air,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia yang menetap di Itali, di sini pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengambil kesempatan untuk berkongsi pelbagai usaha, dasar dan ikhtiar Kerajaan Madani dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta hala tuju masa depan negara di sebalik ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi dunia.

Tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus kepada RM14.61 bilion (USD3.18 bilion) berbanding 2023.

Itali adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.

Selepas Itali, Perdana Menteri dijadual ke Perancis bagi lawatan rasmi selama dua hari bermula 3 Julai dan seterusnya menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil pada 5 Julai.-2/7/2025

Read more

khabar terbaru