PAS Selangor mengecam laporan akhir pihak berkuasa mengenai letupan saluran paip gas Putra Heights, dengan berkata ia tidak menyeluruh dan banyak bergantung kepada jawatankuasa siasatan dalaman.
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata laporan itu – yang menyalahkan kejadian 1 April itu ke atas tanah keadaan tanah yang lemah yang menyebabkan paip mengalami pergerakan berulang – telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“PAS Selangor merasa kecewa dengan dapatan laporan yang dilihat kurang holistik, hanya memberi tumpuan kepada punca langsung (direct cause) dan tidak memberi penumpuan kepada isu-isu ‘root cause’ punca sebenar dan paling asas
“Dapatan sedemikian telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati yang jelas terserlah daripada keluhan dan kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.
“PAS Selangor menuntut Kerajaan Negeri Selangor untuk bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ab Halim juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bebas untuk menjalankan siasatan yang lebih teliti terhadap insiden itu.
Pada 1 April, kebakaran besar yang melibatkan saluran gas Petronas menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap sekitar menjadi kawah besar.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir lapan jam.
Kira-kira 146 mangsa dibawa ke hospital dan klinik untuk rawatan, manakala Bernama melaporkan 219 rumah mengalami kerosakan.
Susulan itu, pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca letupan.
Semasa sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Isnin, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat mengumumkan paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya akibat beban berulang menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.
Pada sidang media yang sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian ditemui dan berkata mereka mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).-2/7/2025