Thursday - 3, July 2025

SPRM sudah masuk kes Mykiosk…

Share

Kalau sebut MyKiosk tentu ramai sudah kenal tentang gerai kotak ini.Ia dapat dilihat di merata tempat sekarang.Masalahnya ia popular bukan kerana ia menjadi lampu Aladin bolehkan peniaga kecil kayut untung besar melaluinya.

Sebaliknya projek Mykiosk yang dilaksana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bantu peniaga kecil lebih diselubungi oleh kontroversi khususnya kos pembinaan.

Ramai yang hairan bila mendengar gerai gerai kotak itu berharga antara RM15,000 hingga RM25,000.

Antara komentar yang riuh di media sosial mendakwa gerai container yang agak sama saiz jauh lebih murah dari MyKiosk.

Ini mendorong beberapa pihak desak siasatan dibuat keatas projek ini.

Parti MCA telah membuat laporan pada SPRM mengenainya.

Ditanya gesaan beberapa pihak supaya SPRM masuk campur untuk menyiasat projek MyKiosk, Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata, beliau sedia memberi kerjasama berhubung perkara itu.

“Saya jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) untuk datang ke pejabat minum teh,” katanya sambil berseloroh baru baru ini.

Apapun setelah isu ini riuh sakan… mungkin tidak lama lagi orangramai akan dapat jawapan yang mereka tunggu tentang isu ini.

Benarkan kos bina Mykiosk terlalu mahal?

Apakah anda unsur penyelewengan?

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM , Datuk Zainul Darus pada Rabu berkata, susulan menerima aduan daripada sebuah parti politik berhubung perkara berkenaan pihaknya menjalankan siasatan awal berhubung aduan berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.

“Selain KPKT yang sudah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak yang terbabit turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.

“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya.

Menurutnya, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola sekiranya wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur ditetapkan.

Sementara itu KPKT menerusi satu kenyataan menegaskan ia tidak akan berkompromi sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan inisiatif MyKiosk dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya KPKT mengalu-alukan siasatan yang dijalankan SPRM berhubung projek MyKiosk.

Menurut KPKT, ia disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Pada masa yang sama, kementerian itu menjelaskan ia telah secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei lalu.

Jelasnya, tindakan berkenaan mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.

“KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT,” katanya.

Mengulas lanjut, KPKT memaklumkan, semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk dilaksanakan oleh 133 pihak PBT melalui sebut harga terbuka.

“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.

“Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk,” katanya.

MyKiosk diwujudkan bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.

Projek ini mencapai pelaksanaan penuh menjelang akhir 2024 apabila penyerahan MyKiosk 1.0 dengan kos unit sekitar RM15,000 kepada PBT oleh kontraktor.

Dilaporkan, MyKiosk itu diselia oleh PBT dengan sewaan tidak melebihi RM300 dan pengecualian sewa pula diberikan selama enam bulan pertama pelaksanaannya.

Seterusnya MyKiosk 2.0 turut dilancarkan pada 2024 sebagai kesinambungan daripada MyKiosk 1.0 apabila 4,054 unit tambahan diluluskan dengan peruntukan RM100 juta, yang mana setiap unit boleh mencecah sehingga RM25,000 termasuk sistem solar 1,000 W, panel LED, kipas, jendela hidraulik dan struktur lebih kukuh.- 2/7/2025

Read more

khabar terbaru