Thursday - 3, July 2025

Terhenti sejak 2017… Malaysia, Indonesia kembali adakan rundingan tahunan

Share

Malaysia dan Indonesia kembali mengadakan rundingan tahunan pada akhir Julai ini selepas kali terakhir diadakan pada 2017, kata Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, usaha mengadakan semula rundingan itu dicapai semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia ketika pertemuannya dengan Presiden negara jiran itu, Prabowo Subianto baru-baru ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, delegasi kerajaan yang diketuai Anwar dijadual ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi itu termasuk acara berkaitan dengan Sekretariat ASEAN.

“Perbincangan dengan Presiden Indonesia itu telah diadakan dalam satu suasana yang cukup meriah, cukup baik, cukup positif dan antara perkara yang dibincangkan adalah untuk memulakan semula perbincangan tahunan ataupun annual consultation antara pimpinan kedua-dua negara.

“Perdana Menteri dan delegasi akan ke Jakarta pada 29 Julai ini untuk sesi konsultasi dan juga acara berkaitan dengan Sekretariat ASEAN di Jakarta,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menambah, rundingan itu bakal menjadi menjadi forum terbaik untuk pemimpin kedua-dua negara menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam isu-isu berbangkit membabitkan Malaysia-Indonesia termasuk isu Ambalat.

Sementara itu, mengenai lawatan Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam, Fahmi berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan hubungan antara Malaysia dan negara berkenaan.

“Ini adalah usaha untuk memperkukuhkan pengukuhan hubungan dua hala selain mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

“Dijangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak,” katanya.-3/7/2025

Read more

khabar terbaru