Tourism Malaysia memperkukuh usaha mempromosi pelancongan negara dengan memanfaatkan kuasa filem antarabangsa selari dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Filem terbaharu berjudul Worth The Wait menjadi platform inisiatif berkenaan, hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan syarikat produksi antarabangsa.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata filem adalah antara medium berkesan untuk memperkenalkan keindahan Malaysia ke peringkat global dan kementerian menyokong usaha penerbitan filem asing yang memilih negara ini sebagai lokasi penggambaran.
“Satu daripada objektif kami ialah untuk mempromosikan Malaysia melalui filem. Jadi, kami memang menggalakkan lebih banyak syarikat penerbitan filem antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Worth The Wait di sini hari ini.
Beliau berkata Tourism Malaysia mengambil peluang untuk bekerjasama menerusi promosi Malaysia sebagai lokasi penggambaran, selain pelakon serta penerbit filem sebagai duta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di media sosial.
Manoharan berkata barisan pelakon filem berkenaan yang rata-ratanya berketurunan Asia serta mempunyai jutaan pengikut di platform digital mampu memberi impak besar dalam menarik minat pelancong asing ke negara ini.
Selain kerjasama dengan penerbit Worth The Wait, beliau berkata MOTAC dan FINAS turut melaksanakan usaha berterusan dalam menjalin hubungan dengan lebih banyak syarikat produksi antarabangsa.
Beliau berkata promosi menerusi filem juga membolehkan liputan yang meluas dan pantas, memandangkan filem kini ditonton bukan sahaja di pawagam, tetapi juga secara dalam talian di pelbagai platform digital.
Katanya kolaborasi itu adalah situasi menang-menang buat kementerian dan agensi kerajaan serta penerbit filem asing dalam mempromosi dan mengetengahkan keunikan Malaysia.
Penerbit Rachel Tan, semasa tayangan perdana memberitahu filem itu adalah berdasarkan kisah percintaannya yang berkembang dalam hubungan jarak jauh antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Worth The Wait bukan sekadar hiburan, tetapi juga refleksi tentang cinta, keyakinan dan harapan. Dan Mark (penerbit) dan saya mahu mencipta sesuatu yang meraikan identiti Asia di samping mempersembahkannya kepada penonton di seluruh dunia dan sambutan setakat ini amat menggalakkan,” menurut bekas Miss Malaysia itu.
Difilemkan di pelbagai lokasi di Malaysia, naskhah berkenaan antara usaha berterusan mempromosikan wajah Asia di Amerika Utara dan juga berperanan menonjolkan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan layanan mesra Malaysia, sebagai ciri-ciri yang terus mengangkat negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Worth The Wait terbitan King Street Pictures bakal ditayangkan di pawagam di Malaysia pada Ogos ini dan akan diedarkan oleh Astro Shaw.
Filem arahan Tom Shu-Yu Lin itu menampilkan bintang seperti Ross Butler, Lana Condor, Andrew Koji, Sung Kang, Elodie Yung, pelakon wanita terkenal dari Hong Kong dan Taiwan yang juga pemenang Golden Horse Award, Karena Lam dan Kheng Hua Tan.
Filem tersebut merupakan pencapaian penting bagi industri perfileman Malaysia, sebagai satu daripada beberapa filem romantik yang mencapai kejayaan di pawagam dan penstriman antarabangsa.
Karya itu juga popular menerusi penstriman di Hollywood, Kanada, United Kingdom, Australia dan New Zealand, dan akan ditayangkan di panggung wayang di Singapura dan seluruh Asia Tenggara tidak lama lagi.-4/7/2025