Malaysia dan Perancis sepakat gencatan senjata di Gaza perlu dilaksanakan serta merta selain memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera.
Ketegasan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Emmanuel Macron pada pertemuan di Istana Elysee.
Macron berkata beliau dan Anwar bersetuju bahawa gencatan senjata kekal harus dilaksanakan di Gaza serta pembebasan tebusan juga perlu dilakukan.
Presiden Perancis itu berkata penyelesaian dua negara ialah kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu Palestin–Israel.
“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa pihak tentang perkara ini, antaranya Arab Saudi. Buat masa ini, Israel perlu membenarkan bantuan sampai ke Gaza,” kata beliau.
Pada sidang media yang diadakan sebelum pertemuan dua hala itu, Anwar memuji Macron atas kesungguhannya cuba untuk menyelesaikan konflik berpanjangan di Gaza.

“Sudah pasti, kita mengutuk serangan bom berterusan dan kekejaman yang dilakukan terhadap orang awam, wanita dan kanak-kanak, dan amat menyedihkan komuniti antarabangsa masih gagal menyelesaikan krisis ini,” kata Anwar.
“Jadi, inisiatif anda kami sokong. Tiada persoalan tentang keamanan, dan sekiranya keamanan menuntut kerjasama daripada kedua-dua pihak, saya bersetuju dengan anda. Sebab itu juga kami komited terhadap penyelesaian dua negara,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata Malaysia turut mengutuk serangan Israel terhadap Iran, dan akan terus menyokong usaha Perancis untuk membawa keamanan di Asia Barat.
“Saya tidak fikir kita boleh menafikan isu penggunaan nuklear untuk tujuan keamanan. Isu pengawalan dan pertambahan senjata nuklear, ataupun tenaga (nuklear), tidak boleh dilihat secara selektif.
“Jika anda katakan tidak kepada Iran, (dan) anda katakan ya kepada Israel, (maka) kita berdepan masalah, kita perlu cuba selesaikannya, namun saya bersetuju dengan anda, kita perlu menekankan kepada Iran supaya menggunakannya (nuklear) hanya untuk tujuan dan kaedah yang aman, dan membenarkan pemeriksaan yang mereka telah berikan komitmen,” kata beliau.
Macron berkata Iran juga mesti dengan jelas menegaskan sokongan terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, menarik balik undang-undang yang mengehadkan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Presiden itu berkata Iran perlu bersetuju dengan perjanjian yang akan membawa kepada penamatan aktiviti pengayaan uranium di negara itu, sambil membolehkan ia menikmati manfaat daripada penggunaan tenaga nuklear secara aman.
“Perkara ini menjadi tumpuan perbincangan saya dengan Presiden Iran dan juga Presiden Rusia Vladimir Putin, dan pada semalam, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Saya akan teruskan perbincangan dalam beberapa hari akan datang dengan anggota Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang lain.
“Kami juga mahukan gencatan senjata serta-merta di Ukraine.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap penduduk awam. Perang pencerobohan yang dilancarkan oleh Rusia ini mempunyai kesan yang jauh melangkaui benua Eropah, sebagaimana yang kita lihat sekarang tentera Korea Utara telah dikerahkan ke tanah Eropah,” kata Macron.-5/7/2025