Sunday - 6, July 2025

Malaysia di Forum BRICS: Desak reformasi institusi global, perkasa negara berkembang

Share

Di tengah-tengah perubahan geopolitik dan ketidakseimbangan dalam sistem ekonomi global, Malaysia melalui suara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk merombak struktur institusi antarabangsa demi memberi ruang yang lebih adil kepada negara-negara membangun.

Anwar menyuarakan pendirian ini ketika berucap di Forum Perniagaan BRICS bertajuk ‘Menghubungkan Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan’ di Rio De Janeiro, Brazil, Sabtu lalu.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut membawa aspirasi rantau Asia Tenggara dalam usaha mendorong kerjasama strategik antara BRICS dan negara berkembang.

Dalam ucapannya, Anwar menyeru transformasi terhadap institusi-institusi utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Katanya, sistem multilateral hari ini tidak lagi mencerminkan realiti kuasa sebenar Selatan Global yang kini memiliki kekuatan ekonomi, teknologi dan kepimpinan tersendiri.

Beliau juga menggesa BRICS untuk terus memperkasakan perdagangan intra-kumpulan yang kini menyumbang hampir 40 peratus daripada ekonomi dunia, sambil meningkatkan kerjasama dengan ASEAN bagi manfaat bersama.

Menurut Anwar, BRICS bukan sekadar forum politik, tetapi sebuah gabungan kuasa kolektif yang berpotensi membentuk semula landskap global dengan prinsip keadilan, kesetaraan dan inklusiviti.

Hadir sama ialah Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin dan Presiden Konfederasi Industri Kebangsaan (CNI) Brazil Ricardo Alban.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mereformasi institusi-institusi antarabangsa utama.

“Kita perlu menuntut transformasi struktur tadbir urus global, merangkumi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perdagangan Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia ke arah orde multilateral yang lebih demokratik dan adil,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan dengan penuh yakin bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global.

“Kita bukan sekadar pewaris sejarah pascapenjajahan. Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia.

“BRICS hari ini melangkaui retorik politik. Ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama,” kata beliau.

Keunikan BRICS terserlah dengan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan perjuangan itu bukan sekadar wacana elit malah juga gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan, kata beliau.

Anwar berkata anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.

BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu, katanya.

Anwar berkata berlandaskan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, BRICS mempunyai peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Lula serta memujinya sebagai antara segelintir pemimpin dunia yang berani pada hari ini untuk bersuara mewakili kalangan yang terpinggir dan suara mereka tidak didengari.

Kumpulan BRICS — yang berfungsi sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara di Selatan Global dan untuk kerjasama merentas pelbagai sektor — pada awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India dan China.

Perkumpulan itu kemudiannya berkembang dengan kemasukan Afrika Selatan pada 2011, diikuti Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, dan Indonesia pada 2024.

Malaysia, serta Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan, telah diterima sebagai Negara Rakan BRICS.

Anwar berada di Rio De Janeiro, Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dianjurkan oleh Brazil atas jemputan Lula.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man; dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.-6/7/2025

Read more

khabar terbaru