TAHUKAH ANDA

Penggunaan Akaun 2 KWSP untuk insurans kesihatan adalah tidak wajib

Kerajaan menegaskan cadangan untuk membenarkan simpanan Akaun Dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi membiayai premium insurans kesihatan merupakan suatu langkah yang tidak wajib, sebaliknya bersifat pilihan kepada para pencarum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan cadangan pemilihan Akaun Dua dibuat selari dengan fungsinya yang digunakan untuk pelbagai keperluan pencarum termasuk aspek kesihatan.

Menurut Dr. Dzulkefly, pencarum boleh membayar premium untuk program insurans kesihatan asas atau Medical Health Insurance Takaful (MHIT) sama ada secara langsung atau menggunakan simpanan Akaun Dua KWSP sebagai pilihan tambahan.

“Ia berbeza daripada Akaun Satu yang digunakan sebagai simpanan untuk persaraan. Akaun Dua pula dikhaskan untuk perkara-perkara pra persaraan seperti pendidikan dan kesihatan.

“Langkah ini bukan mandatori dengan insurans itu juga adalah secara sukarela,” katanya pada Ekspo Makanan Selamat (eMAS) 2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata inisiatif itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) serta sektor insurans dan takaful kesihatan swasta.

Sebelum ini, Dr. Dzulkefly dilaporkan berkata jika ia dilaksanakan, seramai 16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman mereka.

Beliau menjelaskan, pendekatan itu adalah proaktif dan telah diguna pakai beberapa negara lain yang mahu majoriti rakyat mendapat perlindungan insurans sewajarnya.-6/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button