Ahli-ahli UMNO yang digantung atau dilucutkan keahlian perlu menunjukkan kekesalan dan komitmen terhadap perjuangan jika mahu kembali ke parti tersebut, tegas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, pendekatan yang diambil mesti berlandaskan kebijaksanaan serta berhemah untuk menangani mereka yang sebelum ini mengkritik parti atau meninggalkan UMNO dalam keadaan mencetuskan kontroversi.
“Pendekatan kita mestilah berlandaskan kebijaksanaan. Jika tidak, mustahil bagi mereka yang digantung atau bukan lagi ahli UMNO kembali bersama kita,” katanya berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka di Lumut, pada Ahad.
Baru-baru ini Pemuda UMNO Sembrong telah mengemukakan usul agar bekas ketua bahagian yang digantung, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dialu-alukan kembali ke dalam parti.

Bagaimanapun Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO memberi gambaran kekal dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung penggantungannya selama enam tahun dalam parti tersebut.
Dalam pada itu, Zahid turut mengambil contoh bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang secara konsisten menunjukkan usaha untuk kembali menyertai UMNO selepas dipecat daripada parti.
“Saya bukan kejam. Saya bawa perkara ini ke Majlis Kerja Tertinggi dan mereka minta beliau diterima. Maka, kita terima Datuk Seri Tajuddin Rahman,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid memberitahu, UMNO tidak akan bertanding solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan akan kekal bersama Barisan Nasional (BN) meskipun ada gesaan sebelum ini yang mahu parti itu berbuat demikian.
Menurut Zahid, UMNO akan terus menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan BN dan tidak mengetepikan komponen lain termasuk MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, desakan supaya UMNO bertanding secara solo bukan perkara baharu namun hakikatnya parti itu tidak pernah bertanding secara sendirian sejak ditubuhkan.
“Desakan supaya UMNO bertanding secara solo bukan perkara baharu. Ia turut disuarakan semalam ketika saya berada di Johor, sama seperti yang dilaungkan di Kedah.
“Terdapat resolusi daripada beberapa bahagian yang seolah-olah menyalahkan kehadiran rakan-rakan gabungan dalam BN dan PH sebagai punca kekalahan kita,’’ katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut menegaskan bahawa parti itu tidak akan bertanding secara solo pada PRU-16 memandangkan sejarah UMNO sentiasa menunjukkan kerjasama politik sebagai kekuatan utama dalam landskap politik negara yang sentiasa dinamik.-7/7/2025