Projek Inklusif Digital NADI Malaysia muncul johan Hadiah WSIS 2025 melalui Inisiatif NADI Pulau Banggi atas kejayaan pusat berkenaan menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.
Kejayaan projek yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah pengiktirafan dunia terhadap usaha dalam merapatkan jurang kesalinghubungan internet rakyat Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC diminta melaksanakan pelbagai penambahbaikan ke atas 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memastikan manfaat optimum kepada rakyat.

Menurut beliau antara penambahbaikan yang boleh dilaksana termasuk meningkatkan kelajuan internet di NADI serta memperkenalkan perkhidmatan tambahan seperti e-Kesihatan.
“Saya akan minta supaya MCMC meneliti beberapa penambahbaikan supaya NADI ini benar-benar dapat menjadi NADI MADANI.
“Kita mahu semua 1,099 NADI MADANI dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia,” katanya selepas majlis penyampaian Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 di Geneva, Switzerland pada Isnin.
“Ini satu pengiktirafan bahawa usaha di bawah MCMC bukan hanya berhasil membantu warga di kawasan pedalaman yang lama dibelenggu masalah internet, malah boleh dijadikan contoh kepada negara lain.
“Di banyak tempat, bila saya bercakap dengan menteri-menteri dan saya memaklumkan kepada mereka tentang usaha seperti ini, mereka menunjukkan minat untuk melihat inisiatif dan model ini,” katanya.
Anugerah WSIS dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bersama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengiktiraf projek ICT yang menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sejagat.
Majlis berkenaan diadakan sempena Sidang Kemuncak Peringkat Tinggi Masyarakat Maklumat Sedunia+20 (WSIS+20) yang berlangsung bermula hari ini hingga 11 Julai.-8/7/2025