Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneraju usaha memperkasa pelaburan strategik dan kerjasama ekonomi antarabangsa melalui beberapa siri pertemuan dua hala dan penglibatan aktif semasa Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio De Janeiro, Brazil.
Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphos, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Dr Ngozi Okonjo-Iweala.
Antara fokus perbincangan termasuklah perluasan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi digital, tenaga boleh baharu serta industri halal dan aeroangkasa.

Sementara itu pada sesi kenyataan pemimpin pada sidang kemuncak tersebut, Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip multilateralisme dan keadilan ekonomi, serta menyokong reformasi WTO agar badan dunia itu menjadi lebih inklusif dan responsif terhadap cabaran masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) dan perdagangan digital.
Selaku Pengerusi ASEAN, beliau menyeru kerjasama global yang adil dan beretika serta menolak geopolitik yang berpecah-belah serta menekankan kepentingan tadbir urus AI berasaskan nilai sejagat demi pembangunan mampan dan kesejahteraan bersama.
Malaysia menyertai sidang kemuncak tersebut atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang kemuncak anjuran Brazil itu merupakan perhimpunan pertama melibatkan ketua-ketua negara dan kerajaan daripada negara anggota dan rakan BRICS.
Perkumpulan BRICS yang berperanan sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Selatan Global dengan kerjasama merentas pelbagai sektor, pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.
Blok itu kemudiannya berkembang dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2011 dan seterusnya Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023.
Indonesia secara rasmi menyertai sebagai anggota penuh pada Januari 2025 manakala 10 negara yang terdiri daripada Malaysia, Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan telah diterima sebagai negara rakan BRICS.-8/7/2025