Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa mengumumkan pentadbirannya akan mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua negara anggota BRICS dan menyatakan langkah itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam satu mesyuarat Kabinet di White House, Trump berkata: “Mana-mana negara dalam BRICS akan dikenakan caj 10 peratus tidak lama lagi. Jika mereka ahli BRICS, mereka perlu bayar tarif ini… dan mereka mungkin tidak kekal lama sebagai ahli.”
Kenyataan itu mencetuskan reaksi segera daripada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak BRICS tahun ini di Rio de Janeiro.
“Kami tidak terima sebarang aduan atau tekanan berhubung sidang BRICS. Kami tidak bersetuju dengan Presiden AS yang mengisyaratkan akan mengenakan tarif ke atas negara-negara BRICS,” tegas Lula pada sidang media di Brasilia, Selasa.
Gabungan BRICS yang pada asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini turut disertai negara baharu seperti Iran dan Indonesia selepas diperluas pada tahun lalu.
Dalam sidang kemuncak terkini, para pemimpin BRICS menyuarakan kritikan tidak langsung terhadap dasar ketenteraan dan perdagangan Amerika Syarikat.
Trump, yang semakin lantang sejak kembali ke tampuk kuasa menuduh BRICS ditubuhkan untuk “melemahkan kedudukan dolar AS sebagai mata wang rizab dunia”.
“BRICS diwujudkan untuk jatuhkan dolar kita dan menyingkirkan dolar daripada peranan standard dunia. Kalau itu permainan mereka, saya juga boleh main permainan itu,” katanya.
Trump turut menyifatkan sebarang kehilangan status mata wang rizab dunia bagi dolar AS sebagai satu bencana geopolitik besar.
“Kehilangan status dolar sebagai rizab dunia sama seperti kalah dalam peperangan besar. Negara ini tidak akan sama lagi selepas itu,” ujarnya.
Walaupun belum menetapkan tarikh pelaksanaan tarif tersebut, sumber rapat dengan pentadbiran Trump memaklumkan, tindakan itu hanya akan diambil sekiranya negara-negara BRICS mengamalkan dasar yang dianggap “anti-Amerika.”
Trump turut mendakwa tanpa bukti bahawa kenyataan bersama pemimpin BRICS yang dikeluarkan Ahad lalu sebagai bukti mereka sedang menyasarkan kepentingan AS.
Dalam pada itu, Brazil pada Februari lalu telah menarik balik cadangan untuk membentuk mata wang bersama BRICS, sekali gus meredakan sedikit kebimbangan di Washington. -9/7/2025