ASEAN perlu terus berpegang pada prinsip persefahaman dan kerjasama serantau bagi menghadapi cabaran global yang semakin rumit, termasuk konflik geopoltik, tekanan ekonomi dan ketidaktentuan iklim global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk mengurus perbezaan menerusi dialog berterusan, saling menghormati dan capaian konsensus.
“ASEAN perlu menjadi antara yang berpegang teguh kepada undang-undang walaupun ada yang memilih untuk berundur.
“Realisme dan nilai bukan kuasa yang bertentangan, kita perlukan kedua-duanya untuk membimbing pilihan yang dibuat dan mempertahan apa yang mustahak,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di sini, hari ini.
Tambah Anwar, ASEAN tidak seharusnya tunduk kepada tekanan kuasa luar atau terperangkap dalam persaingan blok kuasa sebaliknya perlu tampil sebagai rantau yang menetapkan hala tuju sendiri secara kolektif dan berani.

Pada masa sama Perdana Menteri turut menekankan keperluan untuk menyelaras dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN dengan lebih erat, selaras dengan Visi ASEAN 2045.
“Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan menjadi senjata geopolitik dan ini bukan ribut yang berlalu sekali tetapi (realiti) baharu zaman ini.
“ASEAN mesti menghadapi reality ini dengan jelas dan yakin, kita harus menilai landskap secara klinikal, bercakap dengan koheren dan bertindak dengan pandangan jauh,” katanya.
Beliau menggesa negara anggota untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, melabur antara satu sama lain, dan mempercepat integrasi sektor demi membina ekonomi serantau yang lebih kuat dan berdaya tahan.
Jelasnya ASEAN kini berada pada kedudukan yang cemerlang kerana terus menerima penghormatan dan pengiktirafan yang tinggi di mata dunia.
Anwar berkata, ini berikutan pemimpin-pemimpin dunia terus menunjukkan minat dan keinginan yang tinggi untuk terlibat dengan ASEAN.
Jelas beliau, perkembangan berkenaan membuktikan peranan penting yang dimainkan oleh blok ini dalam landskap geopolitik dan ekonomi global.
“Saya baharu kembali dari Rio De Janeiro, (Brazil), Itali dan Perancis untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin ( di negara – negara berkenaan) selain mengadakan sesi hubungan dua hala dan tanpa pengecualian bertanya mengenai ASEAN.
“Mereka telah mengiktiraf peranan ASEAN dan kini blok ekonomi ini telah mencapai penghormatan dan pengiktirafan yang menakjubkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil, Lula da Silva, akan mengambil bahagian dalam platform ASEAN sebagai wakil rantau masing-masing.
Anwar menjelaskan, langkah itu mencerminkan keinginan luar biasa negara-negara bukan anggota untuk turut serta dalam inisiatif ASEAN.
“Sehingga Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pun ‘pening kepala’ kerana ramai sangat pemimpin yang mahu menyertai. Ini luar biasa dan bukan sesuatu yang biasa berlaku dalam kerjasama serantau lain,” ujarnya.
Menurut beliau, perkara ini sekali gus menggambarkan betapa ASEAN kini menjadi pusat perhatian dunia dan telah mencapai tahap keyakinan yang tinggi daripada komuniti antarabangsa.-9/7/2025