Ingat lagi MH17? pesawat malang yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014… dalam penghakiman bersejarah yang “baca boleh percaya jangan…” Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) telah membuat keputusan menyatakan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden tersebut serta pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik di Ukraine.
Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah yang berpangkalan di Strasbourg itu menyatakan bahawa Rusia telah melakukan serangan ketenteraan secara melulu, penyeksaan termasuk penggunaan rogol sebagai senjata perang, pemindahan paksa penduduk awam, dan penculikan kanak-kanak Ukraine ke Rusia.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine yang ketika itu dikuasai oleh puak pemisah pro-Rusia.
Seramai 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, termasuk 196 warga Belanda.
Mahkamah turut menyatakan bahawa Rusia gagal menjalankan siasatan yang mencukupi, enggan bekerjasama dengan permintaan maklumat, dan tidak menyediakan saluran undang-undang kepada keluarga mangsa.
Penafian berterusan oleh Moscow terhadap penglibatan mereka telah menambah penderitaan kepada waris mangsa.
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, menyambut baik keputusan itu: “Tiada apa yang dapat menghapuskan kesedihan ini, tetapi saya harap keputusan ini memberi rasa keadilan dan pengiktirafan kepada keluarga mangsa.”
Keputusan mahkamah ini juga merangkumi tiga kes lain yang dibawa oleh Ukraine, termasuk penculikan kanak-kanak oleh puak pemisah dan corak pelanggaran hak asasi manusia sejak pencerobohan penuh Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
Walaupun Rusia telah dikeluarkan daripada Majlis Eropah dan tidak lagi mengiktiraf bidang kuasa ECHR, mahkamah masih boleh mendengar kes yang berlaku sebelum tarikh pengusiran tersebut.
Kremlin telah menyatakan bahawa mereka tidak akan mematuhi keputusan ini, menyifatkannya sebagai “tidak sah”.
Keputusan ini dilihat sebagai simbolik tetapi penting dalam usaha berterusan untuk menuntut keadilan bagi mangsa MH17 dan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku akibat konflik bersenjata di Ukraine.-10/7/2025