Friday - 11, July 2025

100 tahun Tun Mahathir: Anwar doakan kesejahteraan dan ketenangan jiwa

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan ketenangan buat negarawan ulung itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar turut menyatakan harapannya agar bekas perdana menteri itu terus dikurniakan kekuatan tubuh dan ketenangan jiwa dalam menjalani kehidupan yang penuh makna.

“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.

“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi,” kata Anwar.

Beliau turut mendoakan agar Allah terus merahmati Dr Mahathir, yang pernah menerajui negara selama lebih dua dekad dalam dua era pemerintahan berbeza.

Dr Mahathir merupakan tokoh politik paling berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia, yang pernah menjadi Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara.

Perdana Menteri turut berkongsi gambar Dr Mahathir sedang berbasikal bersama beberapa individu lain, lengkap berbaju merah berlogo, berseluar gelap dan memakai topi keledar mencerminkan gaya hidup sihat yang diamalkan beliau walaupun kini berusia satu abad.

Ucapan di Facebook Perdana Menteri turut menerima lebih 10,000 reaksi tanda suka, 737 komen dan 500 perkongsian selepas 40 minit dimuat naik ke platform itu.-10/7/2025

Read more

khabar terbaru