Thursday - 10, July 2025

Projek SMART600: Usaha bersepadu MCMC dan SDEC rapatkan jurang digital di Sarawak

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menandatangani Perjanjian Pembiayaan Perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) Multi-Operator Core Network (MOCN) untuk Projek SMART600 di Sarawak.

Pelaksanaan projek SMART600 dilihat akan mempercepatkan kesalinghubungan digital dalam mengubah landskap digital luar bandar di negeri itu.

MCMC dan SDEC dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan akan dibina di Sarawak dalam dua (2) fasa iaitu sebanyak 300 menara untuk setiap fasa.

“Menara-menara baharu ini akan menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G yang berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan dijangka memanfaatkan lebih kurang 180,000 komuniti di Sarawak seperti di Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan pedalaman.

“Pelaksanaan Projek SMART600 membuktikan komitmen kerajaan dalam memacu inisiatif ini ke hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti luar bandar di Sarawak serta menyokong keperluan aktiviti seharian
mereka seperti keperluan pendidikan, telekesihatan, aktiviti ekonomi digital dan komunikasi harian,” menurut kenyataan itu.

Perjanjian yang ditandatangani Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman itu didorong kerjasama yang kukuh antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.

Ia turut merealisasikan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 bagi menggalakkan aktiviti ekonomi digital dan menaik taraf sosioekonomi rakyat Sarawak serta memastikan tiada rakyat tercicir.

Setakat ini, 587 menara telah siap dibina dan 431 daripadanya telah diaktifkan dengan teknologi canggih Multi-Operator Core Network (MOCN) dan selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.

Selain itu, akses kepada Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan bagi menyokong aplikasi yang memerlukan penggunaan data tinggi seperti penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), penstriman video, perkhidmatan awam dan internet benda (IoT).

“Pengguna juga mempunyai pilihan lebih banyak sehingga lima (5) syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) bawah kelolaan MCMC, dan perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang dikendalikan Kerajaan Sarawak.

“Semua perkhidmatan ini berkongsi infrastruktur dan spektrum melalui susunan MOCN. Kejayaan ini juga turut didorong oleh kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak,” tambah kenyataan itu.

Kerajaan Sarawak, melalui SDEC selaku peneraju pelaksanaan inisiatif itu akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) yang diperlukan untuk pembinaan menara tersebut.

“Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, MCMC yang mewakili Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) terlibat bagi membiayai perbelanjaan operasi (OPEX).

“Model pembiayaan bersama ini memastikan menara-menara di kawasan pedalaman Sarawak dapat terus beroperasi walaupun berdepan dengan cabaran geografi dan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu disaksikan Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, para pegawai MCMC dan SDEC.-10/7/2025

Read more

khabar terbaru