Istana Negara mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan, susulan kritikan kelewatan dalam pelantikan berkaitan yang disifatkan mencetuskan krisis perlembagaan melalui satu kenyataan, pada Khamis.
“Pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut Istana Negara, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) adalah undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu lagi.-10/7/2025