Monday - 14, July 2025

Apa cerita ribut isu lantikan jawatan badan kehakiman?

Share

Sekalipun di luar sana bunyi isu lantikan jawatan dalam badan kehakiman macam guruh dilangit namun senario dalaman gabungan kerajaan perpaduan tenang tenang sahaja.

Malah setakat ini tiada tanda tanda pergeseran atau keretakan dikalangan parti gabungan dikesan mengenai hal itu itu.

Di pihak Barisan Nasional yang menjadi salah satu tunjang kerajaan…pendirian tegas telah disuarakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi.

Dalam sidang akhbar selepas satu majlis UMNO dekat Kuala Lumpur,Timbalan Perdana Menteri kata “kami berpendapat soal pelantikan ketua hakim negara tidak harus dipolitikkan dan kita perlu yakin atas perkenan Yang di-Pertuan Agong siapa juga yang akan dilantik dan dalam peraturan itu atas nasihat perdana menteri.

“Ia tentu mengambil kira personaliti dan latar belakang yang akan diteliti tuanku, kita mahu semua pihak hendaklah akur atas pilihan Agong.”

Serentak itu Zahid mengingatkan pihak yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan agar menghormati proses undang-undang dan sistem demokrasi.

Tegasnya, Anwar mendapat sokongan daripada 154 ahli parlimen, lebih dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Presiden UMNO itu juga menjelaskan, wakil BN secara blok berpendirian sebarang usaha mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap badan kehakiman bertentangan dengan semangat kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Istana Negara.

Penubuhan RCI itu dicadangkan oleh kumpulan sembilan Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Zahid…Azalina Othman Said telah memaklumkan kerajaan akan mengkaji amalan terbaik negara lain dalam urusan pelantikan hakim.

Beliau memberitahu Anwar telah memberikan penjelasan kepada ahli parlimen BN berhubung isu pelantikan kehakiman dalam satu pertemuan selama sejam.

Pada Jumaat, Sekretariat Mempertahankan Badan Kehakiman berkata akan membawa isu tersebut ke mahkamah sekiranya Anwar tidak berundur.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata kumpulan itu, yang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah menarik balik ketetapan terdahulu yang menyeru agar Anwar mengambil cuti sementara.

Sebaliknya, dia berkata sekretariat itu kini mendesak agar perdana menteri melepaskan jawatannya serta-merta atas alasan wujud konflik kepentingan dalam pelantikan badan kehakiman memandangkan Anwar pihak dalam beberapa saman sivil.

Pihak pembangkang turut menganjurkan siri perhimpunan yang dinamakan “Turun Anwar”.Kemuncaknya ialah di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Petang esok,Isnin Majlis Peguam Malaysia akan mengadakan satu perarakan mempertahankan badan kehakiman dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, untuk menyerahkan satu memorandum yang antara lain menuntut penubuhan RCI dan pendedahan minit mesyuarat JAC.

Sementara itu cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat badan kehakiman negara yang dikemukakan oleh Rafizi tidak mendapat sambutan daripada pihak pembangkang.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, blok pembangkang tidak berhasrat menyokong gesaan berkenaan memandangkan Ahli Parlimen Pandan itu masih merupakan sebahagian daripada barisan kerajaan.

Menurut beliau, Rafizi telah menghantar surat kepada beberapa Ahli Parlimen PN bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan tersebut.

“Semalam saya mendapat pengesahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai surat yang dihantar Rafizi melalui Pusat Khidmat Parlimen pada 9 Julai lalu.

“Kami berdua, sampai ke saat ini, belum menerima lagi surat daripada Rafizi yang dikatakan meminta Ahli Parlimen PN memberikan sokongan terhadap gesaannya supaya kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan dalam badan kehakiman. -13/7/2025

Read more

khabar terbaru