Tanpa mempedulikan ‘suara sumbang’ dalam negeri dan tekanan geopolitik pentadbiran Donold Trump, Malaysia terus melangkah gagah di arena antarabangsa sebagai jaguh diplomasi dengngan perdekatan berhemah dan inklusif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui siri lawatan rasmi ke Eropah dan Amerika Selatan serta kehadiran aktif di forum antarabangsa seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Sidang Kemuncak BRICS, Anwar membuktikan komitmen Malaysia dalam memperluaskan pasaran eksport, menarik pelaburan asing dan memperkasakan dasar Ekonomi MADANI.
Di tengah ketidaktentuan perdagangan global, jalajah diplomatik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik, tetapi juga membuka ruang baru untuk Malaysia menjadi daya penstabil dalam landskap ekonomi Indo-Pasifik.
Malaysia dikenakan tarif 25 peratus, namun masih berpeluang berunding sehingga ia dikuatkuasakan 1 Ogos ini.

Anwar menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan tarif berkenaan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio yang tiba di Kuala Lumpur semalam bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58.
Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia.
Perdana Menteri menyatakan pendirian ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun.
Dalam pada itu Malaysia kekal yakin, kerjasama erat dengan Washington bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.
Perdana Menteri menegaskan walaupun Amerika adalah rakan dagang yang penting, hubungan dengan China, negara ASEAN dan negara lain akan dipertingkatkan untuk menjamin kepentingan rakyat dan faedah kepada negara.

Sementara itu, Rubio menegaskan komitmen Washington untuk terus memperkukuh hubungan dengan ASEAN. Mereka akan turut memainkan peranan aktif di rantau Indo-Pasifik yang dilihat sebagai kawasan strategik dan penting dalam landskap global.
Beliau menekankan, rantau Indo-Pasifik kekal sebagai tumpuan utama kepada dasar luar Amerika.
Walaupun sektor eksport berdepan cabaran, Malaysia telah melaksana pelbagai inisiatif sokongan termasuk penerokaan pasaran baharu. Usaha berterusan Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan melalui reformasi Ekonomi MADANI berjaya mengukuhkan daya tahan negara.
Terbaharu lawatan rasminya ke Itali, Perancis dan Brazil, bukan sahaja menarik pelaburan berpotensi, malah memperluas pasaran eksport dalam kecenderungan dasar perlindungan daripada tarif Amerika yang boleh menjejaskan perdagangan global.
Lawatannya ke Itali dan Perancis turut membuka ruang dalam memperluas kerjasama ASEAN dengan Kesatuan Eropah.
Pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjana hasil positif, dengan pemeteraian perjanjian mengenai mineral dan pembelian pesawat serta potensi pelaburan sebanyak RM4 bilion.
Kejayaan itu juga mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa, sekali gus menepis “suara sumbang” yang mempersoalkan lawatan kerja delegasi Malaysia.

Selain itu, kehadiran Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil juga menawarkan peluang kepada Malaysia untuk meneroka pasaran baharu.
Sementara itu, keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus juga dilihat sebagai langkah berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global; berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti.
Langkah ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lemah dan inflasi rendah. Jika dilihat dari sudut positif pengenaan tarif Amerika ini, ia boleh berfungsi sebagai pemangkin bagi Malaysia untuk mengukuhkan asas ekonomi, memperluaskan pasaran, dan memacu negara ke hadapan sebagai pengeluar bernilai tinggi.
Memetik kata Perdana Menteri, “Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,”.-14/7/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK