Thursday - 17, July 2025

PM Anwar cetus tanda tanya apa yang akan diumumkan…

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan malam tadi selepas memuat naik satu hantaran misteri yang mengundang pelbagai persoalan di media sosial.

Dalam hantaran itu, Anwar sekadar berkongsi poster dengan mesej yang cukup ringkas namun penuh tanda tanya:

“Akan Datang, Suatu Penghargaan Luar Biasa Buat Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku.”

Tiada penjelasan lanjut diberikan, kecuali kapsyen satu perkataan di ruangan komen:

“Nantikan.”

Ruangan komen hantaran itu kini dibanjiri pelbagai andaian dan spekulasi daripada netizen yang cuba meneka maksud di sebalik mesej tersebut.

Setakat jam 9.40 malam tadi, hantaran itu telah meraih 6,800 tanda suka, 2,200 komen dan 436 perkongsian.

Meninjau ke ruangan komen, pengguna dikenali sebagai Apexx Naim berkata, imej berkenaan adalah iklan acah dengan mesej di bawah inisiatif Malaysia Madani, selain memaklumkan kebiasaannya pengumuman sedemikian merujuk beberapa situasi.

“Antaranya, bantuan kewangan yang mungkin (diberi dalam) bentuk bantuan tunai tambahan atau insentif rakyat; pengumuman ekonomi seperti penurunan cukai, subsidi atau inisiatif perumahan.

“Penghargaan Nasional seperti program khas Hari Kebangsaan atau pengiktirafan golongan tertentu; pelancaran program baharu berkaitan pendidikan, kesihatan atau pekerjaan.

“Namun, tanpa info lanjut, ini hanya spekulasi. Ia mungkin diumumkan Anwar atau pemimpin negara dalam masa terdekat,” katanya.

Rata-rata rakyat Malaysia kini menantikan dengan penuh debar – apakah ‘penghargaan luar biasa’ yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri.-15/7/2025

Read more

khabar terbaru